Jabat Erat 2026 Satukan Komuniti Seni Alternatif Dalam Festival Penuh Energi di ODEON KL

KUALA LUMPUR– Festival Jabat Erat (Fringe Arts Festival) yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 Jun ini dijangka menjadi antara acara seni alternatif paling dinanti tahun ini apabila menghimpunkan penggiat muzik dan seni dari pelbagai latar belakang dalam satu platform yang inklusif. Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., festival ini bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya sebuah gerakan komuniti yang mengangkat semangat D.I.Y dan budaya independen, merangkumi pelbagai aspek daripada produksi muzik fizikal seperti vinil dan kaset hingga ke penganjuran jelajah serta pengedaran karya secara mandiri.

Menurut Pengarah Urusannya, Mozylir Mokhtarudin, Jabat Erat berperanan sebagai hab rangkaian yang menghubungkan pemain industri dari Malaysia, Asia Tenggara dan antarabangsa, sekali gus membuka ruang kolaborasi antara artis mapan dan bakat baharu dalam pelbagai genre seperti rock, punk, shoegaze dan metal. Bertempat di ODEON KL yang kini dihidupkan semula sebagai ruang seni pelbagai guna, festival ini turut memberi penekanan kepada penglibatan belia dalam suasana yang selamat, terbuka dan berteraskan komuniti. Lebih 20 artis termasuk nama antarabangsa seperti Yellow Fang, Megumi Acorda dan Coaltar of the Deepers bakal memeriahkan pentas, di samping barisan artis tempatan yang semakin mencuri perhatian.

Dalam masa sama, festival ini turut memperlihatkan kerjasama strategik antara ODEON KL dan Loket MY sebagai rakan rasmi tiket, sekali gus memperkukuh ekosistem industri kreatif tempatan melalui integrasi teknologi dan pengurusan acara yang lebih efisien. Kolaborasi ini bukan sahaja memudahkan pengalaman pembelian tiket, malah membantu penganjur memahami kehendak penonton dengan lebih tepat. Dengan harga tiket bermula daripada RM118 bagi pra-jualan, Jabat Erat dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan budaya seni alternatif negara serta jambatan pertukaran budaya yang lebih luas di peringkat global.

Sumber: The Mediator